Ogos 13, 2010

Ramadhan Bulan Transformasi

Posted in Cermin Diri pada 3:40 am oleh abulutfi

Salam Ramadhan!

Ramadhan datang lagi. Bersamanya seribu rahmat dan seribu harapan. Mengapa saya katakan Ramadhan adalah bulan yang membawa harapan? Kerana dalam bulan yang diberkati inilah Allah mengilhamkan manusia untuk berubah sikap. Daripada makan 6 kali sehari kepada hanya bersahur dan berbuka puasa. Daripada bebas bersama isteri atau suami kepada penjagaan adab antara keduanya. Daripada mengumpat dan mencela kepada diam.
Dalam bulan Ramadhan banyak perkara yang dibolehkan sebelumnya menjadi larangan. Ini adalah satu latihan kepada manusia untuk berubah sikap dalam tempoh sebulan. Bahkan sebenarnya latihan untuk berubah sikap dimulai dari bulan Rejab dan Syaaban secara beransur-ansur. Oleh itu, selayaknyalah Ramadhan diberi jolokan ‘madrasah tarbiyah’.
Salah satu sifat manusia yang benar-benar teruji semasa Ramadhan adalah kesabarannya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Puasa itu perisai, apabila ada salah seorang kamu di suatu hari sedang berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji (kotor), jangan berlaku jahil dan jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.”
Berpuasa di bulan Ramadhan juga dapat membersih jiwa manusia. Dalam bulan ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat dan amnalan sunat. Segalanya digandakan pahala sehinggan kemuncaknya pada malam Lailatulqadar dimana pada malam itu lebih baik daripada 1000 bulan. Doa-doa dimakbulkan dan dosa-dosa dihapuskira.
Dipendekkan cerita, Islam memperuntukkan satu bulan khas untuk umatnya merubah sikap dengan menyediakan suasana yang begitu kondusif, bahkan disediakan ganjaran di akhirat kelak. Terpulang kepada kita untuk merebut peluang tersebut.

Mei 24, 2010

Sabar Bukan Sekadar Menahan Sakit

Posted in Penawar Hati pada 2:41 am oleh abulutfi

“Mudah untuk kata sabar, tapi berat lagi orang yang memikulnya”, begitulah kata seorang sahabat tatkala saya memujuknya agar redha dengan ujian yang menimpanya. Ramai yang masih beranggapan perkataan ‘sabar’ sekadar menahan diri dari kesakitan yang dirasai baik secara fizikal mahupun batin.

Bagi orang yang mendalami ilmu tasawuf, barangkali perkataan ‘sabar’ adalah umpama ‘syukur’ kerana setiap kali ujian menimpa, pasti ada kebaikan menanti selepasnya sama ada ganjaran berupa pahala atau ditinggikan darjat oleh Allah swt. Oleh itu, setiap kali ujian melanda, mereka tidak berkata “sabar” sebaliknya kata “syukur.”

Apabila sabar dianggap menahan sakit, maka bertungkus-lumuslah seseorang itu menepis ‘aura’ negatif dalam dirinya. Berbeza dengan beranggapan sabar sebagai satu nikmat. Ujian yang melanda dirasa suatu yang ditunggu-tunggu. Saidina Ali pernah mengeluh, “mengapa aku tidak diuji? Adakah Allah telah melupakan aku?” Ini adalah kata-kata orang yang faham hikmah Allah berikan ujian atau musibah kepada para hamba-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, ”Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan” (surah al-Syarh:6). Dalam ayat ini kita diingatkan bahawa ujian itu hanya sementara dan tentunya setiap ujian yang diturunkan Allah disertakan dengan hikmah disebaliknya. Terpulang kepada kita sama ada mahu melihat sesuatu kejadian dari sisi gelap atau sisi terangnya. Ia bukan soal apa yang kita lihat, tetapi bagaimana kita melihatnya.

Mac 2, 2010

Mengurus Perbezaan Pendapat (Konflik)

Posted in Psikologi Islam pada 5:44 am oleh abulutfi

“Masakan lidah lagi tergigit, inikan pula suami-isteri”. Ini adalah antara peribahasa yang sering diungkap apabila cuba merasionalkan fenomena perbezaan pendapat. Selagi mana manusia itu adalah ‘insan’, ia tidak akan terlepas dari perbezaan pendapat. Jika tidak, masakan Allah swt memerintahkan agar manusia yang berbeza latarbelakang berkenal-kenalan. Tujuannya satu, agar manusia saling mengenal dan menerima perbezaan orang lain seterusnya mengukuhkan iman dalam diri.

Masyarakat Malaysia di zaman ini lebih terbuka fikirannya, dan perkembangan ini sedikit-sebanyak mengurangkan perbalahan akibat perbezaan pendapat. Walau bagaimanapun masih lagi terdapat segelintir masyarakat yang taksub dan rendah kemahiran interpersonalnya.

Hal ini berlaku kerana beberapa faktor seperti karakter semulajadi dan suasana sosio-politik. Misalnya, seorang yang panas baran lebih sukar untuk bertindak secara rasional dalam menghadapi perbezaan pendapat. Begitu juga ahli politik yang terpaksa menjaga kepentingan penyokong-penyokongnya.

Berfikiran strategik

Dalam menyelesaian sesuatu konflik atau pertikaian, kita tidak boleh sentiasa mengambil jalan mudah. Penyelesaian ‘simplistik’ sebenarnya hanya menyelesaikan masalah jangka pendek, namun berpotensi mencetuskan kekusutan yang lebih rumit di masa hadapan. Lari dari masalah atau perundinga bukan jalan terbaik. Pihak yang bertelagah harus berdepan secara berani dengan niat menegakkan kebenaran. Bersemuka (untuk berunding) adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan pertikaian.

Perunding tidak harus dari kalangan ahli yang terkenal bengisnya, tetapi yang lebih utama adalah strategik pemikirannya. Sejarah peperangan manusia juga menggambarkan bahawa perunding dan utusan yang sering dihantar terdiri daripada yang bijaksana dan paling berhikmah. Mereka menggunakan teknik-teknik tertentu yang dapat memastikan masalah dirungkai dengan cara yang paling menguntungkan.

Sun Tzu, seorang pakar strategis perang bersetuju bahawa kemenangan yang paling baik adalah yang tidak melibatkan peperangan (pertimpahan darah). Rundingan penyelesaian harus didasari perkara-perkara berikut:

1. Fakta dan statistik

Rundingan tidak akan mencapai suatu keputusan yang terbaik apabila ia dilandaskan oleh emosi. Sebaik-baiknya elakkan menggunakan hujah emosi. Teknik yang terbaik adalah melalui fakta dan analisis rasional. Namun, tidak dinafikan tidak semua masalah harus berpaksikan fakta semata-mata. Contohnya masalah-masalah yang melibatkan perbalahan isu agama, spiritualiti dan hukum.

2. Memberi situasi ‘menang-menang’

Dalam setiap konflik, kedua-dua pihak mahukan keadilan. Tiada sesiapapun yang bersedia untuk rugi apabila masuk ke dalam bilik perundingan. Oleh itu, penyelesaian secara ’menang-menang’ harus diusahakan. Seterusnya kaedah ini mengelakkan timbulnya perasaan tidak puas hati secara senyap dalam kalangan yang berkonflik.

3. Suara majoriti (Redha)

Dalam perundingan, kadangkala tiada kata putus yang muktamad. Oleh itu undian boleh dijalankan dengan syarat ahli yang dibolehkan mengundi hendaklah dari kalangan yang benar-benar layak. Apabila keputusan undian dijalankan, suara majoriti hendaklah diikut, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju. Undian hanya selayaknya dijalankan apabila perbincangan telah dibahaskan sehabisnya. Konsep redha dan tawakkal perlu diaplikasi di sini.

4. Kepakaran

Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, perbincanga hendaklah dijalankan dalam kalangan orang yang pakar atau layak sahaja. Ini bagi mengelakkan isi perbincangan dipenuhi dengan unsur emosi dan andaian-andaian tidak tepat berbanding situasi yang sebenar. Bukan sahaja orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan diperlukan, malah skil dalam menguruskan rundingan (negotiating) juga perlu.

5. Semangat ukhuwah

Apabila suatu konflik berlaku dan cuba diselesaikan dengan semangat permusuhan, perundingan sukar mencapai matlamat dan keputusan yang memuaskan. Sebaliknya apabila perbalahan diselesaikan dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan, ia akan mendapat suluhan hidayah Allah.

6. Utamakan yang utama

Setiap keputusan yang dibuat juga hendaklah mengutamakan yang utama (fiqh awlawiyyat). Contohnya perkara pokok hendaklah diutamakan berbanding perkara ranting atau cabang. Kemudaratan yang lebih kecil hendaklah didahulukan berbanding kemudaratan yang lebih besar. Selesaikan perkara yang penting dan segera berbanding perkara yang penting tetapi tidak perlu disegerakan.

7. Doakan agar diberi hidayah

Akhir sekali, setiap usaha perlu diakhiri dengan doa dan tawakkal kepada Allah. Setiap ahli perlu yakin bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kawalan-Nya dan ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Januari 8, 2010

4 Ciri Keunggulan Manusia

Posted in Psikologi Islam pada 4:20 am oleh abulutfi

Berbanding dengan makhluk lain, manusia dikurniakan kelebihan untuk menjadi khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini. Ciri-ciri tertentu yang ada pada manusia menjadikan ia makhluk yang serba hebat. Namun kehebatan tersebut kadangkala tenggelam di sebalik kejahilan manusia terhadap sifat semulajadinya. Mengetahui ciri-ciri ini adalah titik permulaan yang boleh membangkitkan kehebatan seseorang dan menyerlahkan fitrah manusia selaku insan yang unggul.

Ciri pertama adalah keunikan manusia. Setiap manusia adalah berbeza baik dari segi fizikal ataupun non-fizikal. Hatta, kembar seiras sekalipun terdapat perbezaan walaupun tidak ketara pada pandangan mata kasar. Keunikan ini bermakna masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika manusia sedar dan mengambil kira hakikat ini dalam bersosialisasi, maka seseorang pasti menemui kehebatan diri di tempat yang khusus bagi dirinya. Misalnya, seorang yang suka menyendiri tetapi banyak berfikir dan memerhati adalah lebih adil menjadi seorang ‘think-tank’ berbanding seorang ahli politik.

Ciri kedua manusia adalah ia dikurniakan oleh Tuhan akal untuk berfikir. Akal dapat menafsir maklumat berdasarkan panduan iman untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Berbekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, seseorang mampu membuat analisis dan menghasilkan keputusan yang bijaksana. Permasalahannya ialah kita tidak dilatih untuk berfikir atau kita tidak disemai budaya cintakan ilmu pengetahuan. Apabila akal kering dengan ilmu, otak manusia yang mampu memproses maklumat lebih pantas dan banyak daripada komputer menjadi beku dan jumud.

Seterusnya adalah ciri manusia yang mampu memilih untuk menentukan tindakan dan tingkah lakunya. Manusia bukan makhluk yang hanya tahu bertindak balas terhadap persekitarannya. Ia mampu berfikir dan mempunyai gerak hati. Manusia sentiasa mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu bersifat ‘win-win situation’ atau ‘win-lose situation’, manusia tetap diberi pilihan. Maka, impak sesuatu perbuatan bergantung kepada diri sendiri. Namun, kadangkala oleh kerana batas-batas kita sebagai makhluk, impak tersebut mungkin di luar jangkaan akal.

Ciri terakhir manusia adalah keupayaan untuk mengadaptasi terhadap persekitarannya. Manusia diketahui sebagai seorang ‘survivor’. Selama beribu-ribu tahun, ia berjaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai perubahan agar terus kekal. Pengadaptasian tersebut bukan sahaja dari sudut survival diri, malah penyesuaian terhadap pelbagai ragam dan budaya masyarakat. Misalnya, orang Melayu dari Malaysia yang menetap di Australia telah terbukti boleh menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi cuaca, malah cara hidup dan pergaulan.

Disember 21, 2009

Soal Selidik Personaliti

Posted in Tinta Editor pada 4:53 am oleh abulutfi

Saya sedang menjalankan kajian, sila berikan pendapat anda tentang persoalan berikut:

1. Adakah penghayatan Islam memberi kesan terhadap prestasi kerja?

2. Adakah personaliti seseorang memberi kesan terhadap prestasi kerja?

Terima kasih.

Laman sebelumnya · Laman berikutnya