Oktober 4, 2009

Bukan Mudah Mengubah Sikap

Posted in Sumbangsaran pada 2:09 pm oleh abulutfi

Lucu betul apabila seorang guru bercakap tentang sikap seolah-olah mengubahnya semudah A-B-C. Saya berpengalaman berhadapan dengan dua orang guru yang juga merupakan pelajar sarjana di salah sebuah universiti tempatan semalam berhubung perkara ini.

Latarbelakangnya berkisar tentang insiden di mana seorang guru dan seorang siswi dari universiti di mana saya bekerja terlibat dalam satu kemalangan beberapa bulan lalu. Dipendekkan cerita, siswi tersebut masih belum membayar ganti rugi kepada guru berkenaan sebagaimana yang dijanji. Bahkan menurut guru berkenaan, beliau begitu sukar hendak berhubung dengan siswi itu.

Dalam pertemuan penulis bersama guru berkenaan (kita gelar sebagai cikgu L) dan rakannya (cikgu B), saya telah diasak bertalu-talu untuk mengambil tindakan terhadap siswi tersebut. Isu besar yang diutarakan untuk perhatian saya adalah sikap siswi tersebut terhadap cikgu L yang kononnya kurang sopan. Walaupun berkali-kali saya cuba menerangkan bidang kuasa dan prosedur kami di universiti, cikgu L dan cikgu B seolah telah ada ‘mind-setting’ sendiri dan tidak membuka mindanya kepada penjelasan saya.

Sebagai seorang pegawai, saya mengambil sikap profesional dan cuba memahami isi hati kedua-dua orang guru ini. Ketika itu saya benar-benar rasa seperti seorang kaunselor! Tahap kesabaran saya berada di puncak tatkala melayani kerenah dua orang guru senior ini. Apa tidaknya, habis semua pelajar universiti kami (19,000 orang!) dipukul ratanya sebagai tidak berkualiti. Perkara yang paling menyedihkan ialah mereka mendakwa kami tidak serius dalam mendidik sikap penuntut kami!

Cuba fikirkan… dalam tempoh antara satu ke empat tahun, dua orang guru ini menjangka kami boleh mengubah sikap 19,000 orang dari pelbagai latar belakang masyarakat. Mereka telah menempuh bermacam ragam pengaruh selama 18 tahun dan tersosialisasi dengan budaya remaja zaman ke-21 ini sebelum melangkah masuk ke universiti. Bukan sahaja sikap memerlukan masa dan kaedah paling halus untuk memperbaikinya (lebih tepat dalam konteks ini adalah istilah memperbaiki, bukan mengubah), malah peranan semua pihak dituntut.

Jika semua ini diambil kira, mana mungkin sikap dapat diperbaiki dengan satu hukuman dari pihak universiti? Malah, isu cikgu L dan siswi bukan termasuk dalam kesalahan yang boleh dihukum oleh pihak univerisiti (kami boleh sekadar menasihati). Maka, saya berfikir, dengan cara kedua-dua orang guru ini ‘menyerang’ saya dengan hujah-hujah picisan mereka, salah universitikah yang tidak memperbaiki SIKAP pelajar kami atau salah guru-guru di sekolahkah yang gagal ‘melentur rebung’?

rotan
Saya simpulkan pengalaman saya ini begini, jangan mudah menuding jari terhadap orang lain. Jika mahu mendidik seseorang, belajarlah cara mendidik yang betul. Bukan sekadar teori semata-mata. Didiklah diri bersabar sebelum aib sendiri terbuka. Tongkat yang bengkok tidak dapat menghasilkan baying-bayang yang lurus!

Advertisements

November 7, 2008

Mengenal Diri

Posted in Sumbangsaran pada 3:48 am oleh abulutfi

Tidak boleh dinafikan lagi bahawa setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Satu cara mengenali diri adalah dengan mendengar pendapat orang lain tentang diri kita. Kita boleh bertanya kepada rakan rapat kita. Kita juga boleh mengambil ujian-ujian tertentu yang dapat membantu mengenal pasti kekuatan atau bakat kita. Anda boleh rujuk kepada teori ‘Multiple Intelligence’ (MI) oleh Howard Gardner melalui enjin carian di internet. Saya cadangkan anda cuba ujian personaliti RHETI (www.enneagraminstitute.com/dis_sample_36.asp) dan ujian MI (literacyworks.org/mi/assessment/findyourstrengths.html).

rajah-enneargram2

Kehidupan adalah satu pengembaraan. Kita akan mengenali diri kita sepanjang perjalanan hidup ini. Ia adalah proses menuju kematangan. Bahkan ada sesetengah orang menemui diri mereka apabila telah masuk usia 30-an atau 40-an. Bijak pandai pernah berkata: “Kelemahan utama manusia bukanlah kerana ia tidak mendapat atau tidak memperoleh apa yang belum dapat dipunyainya tetapi adalah kerana kegagalannya menggunakan apa yang dipunyainya.”

Kadangkala, kebaikan pada diri kita ditabir oleh pemikiran yang negatif terhadap diri. Apa yang penting adalah tanggapan kita terhadap diri sendiri.“Langkah pertama untuk menuju kecemerlangan adalah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap diri sendiri.” Dunia akan terbuka apabila kita melihat dari perspektif yang positif.

Saya bawakan satu cerita bagi menjelaskan keajaiban berfikiran positif. Ada sebiji gelas yang diisi air oren hingga separuh gelas. Dua orang lelaki datang dan ternampak gelas tersebut. Lelaki pertama yang melihat gelas berisi air oren tersebut berfikir, “Ala… dah separuh habis air oren yang sedap tu! Kalaulah aku sampai cepat sedikit mungkin aku dapat minum lebih banyak.” Lelaki kedua yang melihat gelas berisi air oren tersebut pula berfikir, “Alhamdulillah, nasib baik ada lagi separuh air oren tu. Kalau tidak, tak merasalah aku air yang sedap tu!” Anda faham maksud saya?

Jika kita renung-renungkan, semua yang ada pada diri kita adalah kurnia Tuhan yang tidak lain untuk kebaikan diri dan alam semesta. Orang yang bijaksana bukan hanya dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, malah dapat mengenalpasti kebaikan antara dua keburukan. Kadangkala kita dapat mengenalpasti kebaikan dalam keburukan diri kita.

Oktober 1, 2007

Berhadapan orang yang berbeza sikap

Posted in Sumbangsaran pada 7:02 am oleh abulutfi

Salam,

Saya sering mendengar keluhan dan rintihan rakan-rakan yang tidak puas hati dengan sikap sesetengah pihak. “Si A tu memang suka manipulasi orang lain!”, kata rakan saya ini. Saya hairan, mengapa pula sikap si A tu boleh menjadi satu masalah kepada rakan saya tersebut. Bukannya dia dimanipulasi oleh si A itu pun. Walaupun saya mengakui sikap yang ditonjolkan oleh A tidak selari dengan nilai-nilai murni dan semangat muhibbah, tetapi kita tidak seharusnya menyesakkan fikiran kita dengan orang yang berbeza sikap dan tingkah lakunya.

Kita harus sedar bahawa setiap orang ada personaliti tersendiri. Kedua, tiada sesiapa yang sempurna. Cuba periksa diri kita sendiri. Pasti ada sikap yang juga tidak disenangi orang lain. Sebagai individu dalam satu kelompok masyarakat, kita mesti bijak menyesuaikan diri dengan masyarakat. Bagaimana caranya untuk menyesuaikan diri?

1. Terima seadanya diri kita dan orang lain.

2. Cuba memahami personaliti orang lain.

3. Belajar kebaikan yang boleh dicontohi atau keburukan yang harus dihindari.

Anda akan dapati bahawa Allah ciptakan manusia dengan personaliti dan sikap yang berbeza-beza sebenarnya untuk kebaikan dan bukan untuk memporak-perandakan dunia.

September 21, 2007

Prakata Sumbangsaran

Posted in Sumbangsaran pada 2:01 am oleh abulutfi

Jilid ‘Sumbangsaran’ adalah ruang di mana saya akan kemukakan tips dan petua ringkas untuk amalan bersama. Ruangan ini untuk mereka yang ‘on the go‘ dan tiada masa untuk membaca artikel yang panjang lebar.