Jun 20, 2009

Petua Agar Orang Suka Kepada Kita

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 4:12 pm oleh abulutfi

Saya telah beri banyak petua bagaimana menjadi seorang yang beropersonaliti unggul dalam buku saya. Namun kini saya akan kongsi beberapa petua lagi agar hubungan tuan-tuan dan puan-puan bertambah erat.

1. Jadilah orang yang berfikiran positif. Ini kerana kebanyakan manusia (yang normal) tertarik kepada orang yang berfikir dan bersikap positif. Secara fitrahnya, manusia sukakan yang baik, dan ini termasuklah dalam perihal sikap.

2. Adaptasi tingkah laku orang yang kita mahu dekati. Ini kerana persamaan tingkah laku boleh menghubungkan manusia secara psikologkal. Misalnya, secara senyap-senyap tiru gaya atau intonasi percakapannya.

3. Berkongsi minat dan pengalaman yang sama juga boleh mengeratkan hubungan sesama manusia kerana faktor persamaan tersebut.

4. Perasaan seseorang terhadap kita juga dipengaruhi oleh cara kita membuat dia rasa terhadap dirinya sendiri. Maka, banyakkan memuji dan tingkatkan estim diri orang tersayang!

5. Jangan segan menunjukkan tanda-tanda bahawa tuan-tuan/puan-puan sukakan seseorang kerana kajian mendapati bahawa seseorang manusia akan cenderung kepada orang yang menyukainya juga. Tapi awas! Jika takut syok sendiri, binalah hubungan secara beransur-ansur. Kata orang, ‘Slow and steady win the race’.

6. Kajian juga mendapati bahawa apabila lebih kerap kita berinteraksi dengan seseorang, akan wujud tarikan yang positif antara keduanya.

7. Akhir sekali, elakkan berhubung dengan seseorang yang berada dalam ‘mood’ yang tidak baik. Ini kerana ‘mood’ yang baik boleh mewujudkan perasaan yang positif terhadap orang yang sedang berinteraksi.

Selamat mencuba!

kempen selamat palestin

Gambar: Berkongsi persamaan…

April 19, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 6:42 am oleh abulutfi

Jom berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 pada 17 hingga 26 April 2009 di PWTC. Dapatkan diskaun sehingga 25% di gerai PTS Publications.

bannerpestabuku

Jangan lupa untuk mencari buku saya, PSQ: Rahsia Personaliti Unggul di sana!

cover-buku-psq

Januari 31, 2009

Buku PSQ: Rahsia Personaliti Unggul

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 2:03 am oleh abulutfi

cover-buku-psq

Salam kepada pembaca-pembaca setia blog saya,

Buku saya bertajuk ‘PSQ: Rahsia Personaliti Unggul’ akan terbit pada awal Mac 2009. Dapatkan buku ini di cawangan-cawangan MPH, Popular Book Store dan kedai-kedai buku lain yang menjual buku-buku terbitan PTS Publications. Berikut adalah sinopsis buku tersebut:

“PSQ: Rahsia Personaliti Unggul membongkar rahsia kecemerlangan individu yang digelar personaliti unggul dalam sejarah. Menggunakan gabungan pendekatan psikologi dan spiritual, penulis mendedahkan satu per satu rahsia personaliti unggul. Di sinilah terbongkarnya rahsia permulaan kajian psikologi personaliti, maklumat personaliti daripada perspektif Islam, konsep perubahan secara holistik dan rahsia personaliti terhebat sepanjang zaman.”

September 22, 2008

Ciri-ciri Unggul Manusia

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 8:28 am oleh abulutfi

Berbanding dengan makhluk lain, manusia dikurniakan kelebihan untuk menjadi khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini. Ciri-ciri tertentu yang ada pada manusia menjadikan ia hebat. Namun kehebatan tersebut kadangkala tenggelam di sebalik kejahilan manusia terhadap sifat semulajadinya. Mengetahui ciri-ciri ini adalah titik permulaan yang boleh membangkitkan kehebatan seseorang dan menyerlahkan fitrah manusia selaku insan yang unggul.

Ciri pertama adalah keunikan manusia. Setiap manusia adalah berbeza baik dari segi fizikal ataupun non-fizikal. Hatta, kembar seiras sekalipun terdapat perbezaan walaupun tidak ketara pada pandangan mata kasar. Keunikan ini bermakna masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika manusia sedar dan mengambil kira hakikat ini dalam bersosialisasi, maka seseorang pasti menemui kehebatan diri di tempat yang khusus bagi dirinya. Misalnya, seorang yang suka menyendiri tetapi banyak berfikir dan memerhati adalah lebih adil menjadi seorang ‘think-tank’ berbanding seorang ahli politik.

Ciri kedua manusia adalah ia dikurniakan oleh Tuhan akal untuk berfikir. Akal dapat menafsir maklumat berdasarkan panduan iman untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Berbekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, seseorang mampu membuat analisis dan menghasilkan keputusan yang bijaksana. Permasalahannya ialah kita tidak dilatih untuk berfikir atau kita tidak disemai budaya cintakan ilmu pengetahuan. Apabila akal kering dengan ilmu, otak manusia yang mampu memproses maklumat lebih pantas dan banyak daripada komputer menjadi beku dan jumud.

Seterusnya adalah ciri manusia yang mampu memilih untuk menentukan tindakan dan tingkah lakunya. Manusia bukan makhluk yang hanya tahu bertindak balas terhadap persekitarannya. Ia mampu berfikir dan mempunyai gerak hati. Manusia sentiasa mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu bersifat ‘win-win situation’ atau ‘win-lose situation’, manusia tetap diberi pilihan. Maka, impak sesuatu perbuatan bergantung kepada diri sendiri. Namun, kadangkala oleh kerana batas-batas kita sebagai makhluk, impak tersebut mungkin di luar jangkaan akal.

Ciri terakhir manusia adalah keupayaan untuk mengadaptasi terhadap persekitarannya. Manusia diketahui sebagai seorang ‘survivor’. Selama beribu-ribu tahun, ia berjaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai perubahan agar terus kekal. Pengadaptasian tersebut bukan sahaja dari sudut survival diri, malah penyesuaian terhadap pelbagai ragam dan budaya masyarakat. Misalnya, orang Melayu dari Malaysia yang menetap di Australia telah terbukti boleh menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi cuaca, malah cara hidup dan pergaulan.

September 19, 2008

Potensi Diri

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 1:30 am oleh abulutfi

Setiap manusia yang diciptakan oleh Tuhan dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kelebihan dan kelemahan yang dikurniakan menjadikan setiap insan unik dan istimewa. Tiada seorangpun yang diciptakan-Nya dengan sia-sia. Cumanya mungkin, manusia itu sendiri yang tidak mengenali dirinya. Pada diri manusia ada sekurang-kurangnya tujuh kecerdasan. Kecerdasan ini kadangkala terpendam dalam diri sehinggalah ia ditemui oleh tuan empunya diri.

Pada 1983, seorang ahli psikologi bernama Dr. Howard Gardner mengemukakan teori ‘Multiple Intelligence’. Menurut beliau, manusia mempunyai tujuh jenis kecerdasan iaitu kecerdasan logikal, bahasa, ruang, muzik, kinestetik, interpersonal dan intrapersonal. Ahli sukan mempunyai kecerdasan kinestetik. Ahli muzik mempunyai kecerdasaan muzik. Manakala pereka hiasan dalaman mempunyai kecerdasan ruang. Begitu lah seterusnya sehingga tidak ada seorangpun yang boleh mengatakan bahawa dirinya serba kekurangan. Sekurang-kurangnya satu orang mempunyai satu kebolehan.

Amat penting agar setiap manusia tahu kelebihan dan kelemahan diri. Kelebihan diri perlu diketahui agar kita bisa mempertingkatkan keupayaan tersebut dan menggunakannya sebaik mungkin untuk mencapai kecemerlangan hidup. Manakala kelemahan penting untuk diketahui agar segala kekurangan tersebut dapat diminimakan kesannya dalam hidup. Manusia tidak dapat lari dari kekurangan, tetapi manusia boleh memperbaiki kelemahan diri. Setiap manusia bisa berubah!

*Diolah semula dari buku saya, Rahsia Personaliti Unggul ©.

Laman berikutnya