September 30, 2010

Untuk Para Pencari Tuhan

Posted in Penawar Hati pada 1:03 am oleh abulutfi

Ada beberapa kenalan dan bukan kenalan yang bertanyakan kepada saya, bagaimana hendak mengenal Tuhan? Satu persoalan yang kebiasaannya hanya ustaz-ustaz yang selayaknya menjawab. Namun, kalau saya telah mengenal pencipta saya, apa salahnya saya berkongsi sedikit pengetahuan?

Apabila persoalan mengenal tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mahsyur adalah, “kenali diri, maka kamu akan kenali tuhanmu.” Maka, saya mulakan intro saya dengan mengajak pembaca-pembaca semua mengenal diri terlebih dahulu. Justeru, topik perbincangan akan mengarah kepada cara mengenal diri pula. Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengulas panjang-lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri dan yang sewaktu dengannya, sebaliknya cukup sekadar saya membangkitkan kesedaran para pembaca kepada satu suruhan agama, iaitu berfikir.

Dalam al-Quran, terdapat banyak sekali kalam-kalam Allah yang menyuruh supaya kita berfikir. Mengapa? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita berfikir untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku, siapa yang menyebabkan ia berlaku, sampai bila ia akan berlaku dan sebagainya. Kesemua persoalan ini menjurus kepada untuk memahami. Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak (usaha).

Contoh mudahnya begini: apabila kita tahu bahawa makan banyak boleh menyebabkan kegemukan, kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita fahami lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (akibat banyak makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan cari maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya.

Perumpamaan ini samalah dengan misi kita dalam mencari tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang punyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan kepada ihsan dan kekuatan dari penciptanya.

Maka, ketika kita kenal dan faham tentang diri kita, kita mula rasa ingin tahu pula tentang siapa pencipta yang Maha Kuasa itu. Pencipta yang berkuasa menggerakkan segala sel dan urat dalam makhluknya. Pencipta yang hanya perlu katakan “jadilah”, maka jadilah ia. Lebih dalam kita cuba mengenal diri-Nya, lebih tenang dan jelas rasa makna hidup ini. Baru jelaslah mengapa semua yang berlaku pada diri dan alam ini berlaku. Semuanya berlaku kerana ada sebabnya. Sunnatullah. Itulah sebabnya banyak kali Allah menyeru kepada manusia untuk berfikir dan merenung kejadian alam. Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A’raaf : 179]

Peringkat seterusnya setelah ada kefahaman tentang kewujudan pencipta adalah kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Di sinilah kesungguhan menentukan sampai atau tidak seseorang hamba kepada pencipta-Nya. Kesungguhan yang saya maksudkan di sini ialah usaha memperbanyakkan amalan yang disukai Allah. Sama juga seperti kita hendak menarik perhatian orang yang kita sayangi. Maka kita lakukan apa yang disukainya, dengan harapan dia menyedari dan menaruh minat pula kepada kita.

Antara amalan yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut para ulama dan ahli filasuf adalah amalan berzikir. Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Termidzi dan Ibnu Majah bermaksud:

“Mahukah kalian kuberikan tentang sebaik-baik amalmu, semulia-mulianya di hadapan Rajamu setinggi-tingginya darjatmu, dan justeru ia itu lebih baik bagimu daripada menginfaqkan emas dan perak, serta lebih baik bagimu daripada kamu bertemu musuhmu lalu kamu pukul leher-leher mereka dan merekapun memukul leher-lehermu? Mereka (para sahabat) menjawab, “Mahu, ya Rasulullah”. Dia (kemudian) bersabda: Zikrullah.”

Sesungguhnya hanya Allah yang dapat member petunjuk dan hidayah. Tetapi kitalah yang harus berusaha mendapatkan petunjuk dan hidayah itu. Mereka yang tunduk kepada nafsu akan terus jauh dari Allah dan mereka yang menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampirinya 1000 langkah.

“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]

Mei 24, 2010

Sabar Bukan Sekadar Menahan Sakit

Posted in Penawar Hati pada 2:41 am oleh abulutfi

“Mudah untuk kata sabar, tapi berat lagi orang yang memikulnya”, begitulah kata seorang sahabat tatkala saya memujuknya agar redha dengan ujian yang menimpanya. Ramai yang masih beranggapan perkataan ‘sabar’ sekadar menahan diri dari kesakitan yang dirasai baik secara fizikal mahupun batin.

Bagi orang yang mendalami ilmu tasawuf, barangkali perkataan ‘sabar’ adalah umpama ‘syukur’ kerana setiap kali ujian menimpa, pasti ada kebaikan menanti selepasnya sama ada ganjaran berupa pahala atau ditinggikan darjat oleh Allah swt. Oleh itu, setiap kali ujian melanda, mereka tidak berkata “sabar” sebaliknya kata “syukur.”

Apabila sabar dianggap menahan sakit, maka bertungkus-lumuslah seseorang itu menepis ‘aura’ negatif dalam dirinya. Berbeza dengan beranggapan sabar sebagai satu nikmat. Ujian yang melanda dirasa suatu yang ditunggu-tunggu. Saidina Ali pernah mengeluh, “mengapa aku tidak diuji? Adakah Allah telah melupakan aku?” Ini adalah kata-kata orang yang faham hikmah Allah berikan ujian atau musibah kepada para hamba-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, ”Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan” (surah al-Syarh:6). Dalam ayat ini kita diingatkan bahawa ujian itu hanya sementara dan tentunya setiap ujian yang diturunkan Allah disertakan dengan hikmah disebaliknya. Terpulang kepada kita sama ada mahu melihat sesuatu kejadian dari sisi gelap atau sisi terangnya. Ia bukan soal apa yang kita lihat, tetapi bagaimana kita melihatnya.

April 2, 2008

Kurang Keyakinan Diri di Kalangan Remaja

Posted in Penawar Hati pada 8:56 am oleh abulutfi

Salam,

Saya terima satu emel dari seseorang yang akan saya panggil sebagai ‘R’. ‘R’ mempunyai masalah keyakinan diri yang serius sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya. Daripada emel beliau, saya dapati terdapat 3 masalah yang diutarakan dan ketiga-tiganya berangkai. Masalah pertama sebagaimana yang saya katakan tadi iaitu kurang keyakinan diri. Masalah kedua ialah masalah untuk berkomunikasi dengan orang lain. Yang ketiga pula adalah tidak ada tempat untuk mengadu. Mungkinkah anda juga mempunyai masalah yang sama seperti ‘R’?

Dalam kajian saya, mana-mana pakar motivasi pun mungkin setuju bahawa perubahan sikap dan tingkah laku seseorang bermula dari diri sendiri. ‘For things to change, you must change first’. Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran bahawa nasib manusia tidak akan berubah melainkan dia merubah ‘apa yang ada dalam dirinya’ terlebih dahulu. Apa yang dimaksudkan dengan apa yang ada dalam diri? Mudahnya begini, setiap manusia dikurniakan perwatakan yang khusus yang menjadi identiti diri. Apabila perwatakan yang telah tertanam dalam diri ini bergabung dengan pengalaman semasa proses membesar, ia akan menjadi tingkah laku yang akan tertonjol apabila dalam sesuatu situasi tertentu.

Namun, setiap manusia boleh berubah. Perubahan yang saya maksudkan tidak sama pada semua orang. Ada sesetengah jenis orang perlu melalui kaedah A dan sesetangah yang lain menggunakan kaedah B untuk berubah. Pokoknya setiap manusia dikurniakan pilihan oleh Allah s.w.t. untuk merubah tingkah laku. Maksudnya anda boleh merubah dari seorang yang tiada keyaian kepada seorang yang berkeyakinan diri tinggi. Jangan bimbang!

Berbalik kepada masalah ‘R’. Oleh kerana masalah ‘R’ berangkai, maka saya akan berikan cara yang pada pendapat saya boleh dijadikan ‘stepping stones’ menyelesaikan ketiga-tiga masalah tesebut. Pertamanya, ‘R” perlu mengenal siapa dirinya yang sebenar. Senaraikan kekuatan dan kelemahan diri dalam sekeping kertas Tidak kiralah berapa banyak pun kelebihan atau kekurangan. Anda perlu mencarinya. Saya juga telah menempuh masalah yang sama seperti ‘R’ semasa menjalani usia remaja saya. Namun, saya bertekad untuk mencari dan membina kelebihan diri saya. Apabila saya tahu bahawa saya mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu, jati diri saya telah bertambah.

Selain itu, untuk ‘R’ memahami kedudukan dirinya, ‘R’ perlu belajar mengenal pencipta-Nya juga. Maksud saya mudah, belajar mengenal Allah, sifat-sifatnya dan mengapa Dia menciptakan insan bernama ‘R’. Allah tidak menciptakan sesuatu yang sia-sia melainkan ada matlamat dan fungsinya.  Maka, apakah fungsi anda di dunia wahai ‘R’? Saya percaya anda dicipta bukan untuk menjadi seorang yang pendiam dan kurang keyakinan diri semata-mata. Percayalah, saya pernah melalui apa yang anda lalui kerana saya pernah menjadi remaja.

Cuba juga membuat ujian-ujian personaliti. Ia akan banyak membantu anda memahami siapa diri anda sebenarnya dan dengan yang demikian, anda akan tahu tempat anda di dalam masyarakat.  Dari mengenal diri dan Allah, saya yakin anda akan terus meneroka dan mendapat keyakinan diri sedikit demi sedikit. Anda akan belajar cara-cara berkomunikasi dan akhirnya anda akan dapat teman-teman yang boleh bertukar-tukar cerita dengan anda. Selamat mencuba!

Oktober 8, 2007

Persepsi Diri

Posted in Penawar Hati pada 2:05 am oleh abulutfi

Pernahkah anda lalui keadaan di mana apabila anda melakukan sesuatu perkara, anda dikritik. Sebaliknya jika anda tidak melakukan perkara itu juga akan dikritik? Hal ini mengingatkan saya kisah Lukman Al-Hakim dan anaknya. Apabila anak Lukman menaiki kaldai sedangkan Lukman berjalan kaki, orang ramai mengkritik anaknya. Apabila Lukman menaiki kaldai sedangkan anaknya berjalan kaki, orang mengkritik Lukman. Apabila Lukman dan anaknya menaiki kaldai, orang mengkritik kedua-duanya.

Moral cerita di atas ialah anda tidak semestinya menurut persepsi orang lain. Setiap orang ada persepsi terhadap setiap tingkah laku kita. Jika kita asyik memikirkan apa yang orang lain akan kata apabila kita hendak melakukan sesuatu, akhirnya kita akan hilang identiti diri. Masalah ini sering terjadi kepada golongan remaja. Saya juga pernah mengalami perasaan begitu semasa remaja. Tingkah laku kita juga tanpa disedari dipengaruhi oleh ‘trend’ semasa kerana tidak mahu dilihat sebagai melawan arus. Oleh kerana terlalu risaukan diri tidak menjadi seperti yang orang lain harapkan, kita menjadi pengikut dan bukan pemimpin, sedangkan manusia dicipta sebagai khalifah di muka bumi!

Kesimpulan dari apa yang saya utarakan di sini ialah: Jadilah diri anda sendiri. Kenali diri anda dan eksploitasi kekuatan anda.

dual-personality.jpg

September 21, 2007

Prakata Penawar Hati

Posted in Penawar Hati pada 12:39 am oleh abulutfi

Salam Keunggulan!

Dalam Jilid ‘Penawar Hati’, saya akan mengupas permasalahan yang biasa dihadapi oleh para remaja kita dan isu-isu semasa yang berkisar di dalam masyarakat. Jika anda juga ada permasalahan, jangan gusar untuk berkongsi bersama saya. Identiti anda akan dirahsiakan. Bersama kita mencari jalan penyelesaian.

20-157803985.gif