Januari 31, 2009

Buku PSQ: Rahsia Personaliti Unggul

Posted in Rahsia Personaliti Unggul pada 2:03 am oleh abulutfi

cover-buku-psq

Salam kepada pembaca-pembaca setia blog saya,

Buku saya bertajuk ‘PSQ: Rahsia Personaliti Unggul’ akan terbit pada awal Mac 2009. Dapatkan buku ini di cawangan-cawangan MPH, Popular Book Store dan kedai-kedai buku lain yang menjual buku-buku terbitan PTS Publications. Berikut adalah sinopsis buku tersebut:

“PSQ: Rahsia Personaliti Unggul membongkar rahsia kecemerlangan individu yang digelar personaliti unggul dalam sejarah. Menggunakan gabungan pendekatan psikologi dan spiritual, penulis mendedahkan satu per satu rahsia personaliti unggul. Di sinilah terbongkarnya rahsia permulaan kajian psikologi personaliti, maklumat personaliti daripada perspektif Islam, konsep perubahan secara holistik dan rahsia personaliti terhebat sepanjang zaman.”

Januari 9, 2009

Kawal Emosi Mu Dahulu

Posted in Psikologi Islam pada 11:40 pm oleh abulutfi

anger-management

Manusia adalah makhluk yang beremosi. Secara umumnya kaum wanita lebih emosi berbanding lelaki. Ini bukanlah satu kelemahan, tetapi satu kelebihan. Melalui limpahan emosi inilah, wanita menjadi tonggak sebuah negara dengan kekuatan membesarkan anak-anak yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

Oleh kerana lelaki kurang beremosi, ia menghadapi kesukaran untuk menjadi suri rumah dan mendidik anak-anak di rumah. Namun, sebenarnya kurangnya emosi di kalangan kaum lelaki juga bukan tanpa kekurangan, malah satu kekuatan. Sebagai pemimpin dalam keluarga, organisasi atau negara, lelaki adalah insan yang diberi amanah mentadbir dan diberi kuasa membuat keputusan.  Sesuatu keputusan seharusnya dibuat tanpa mencampur-adukkan emosi ke dalamnya.

Sun Tzu, seorang pakar strategi perang di China suatu ketika dahulu menyarankan agar seorang Jeneral perang melepaskan diri dari pengaruh emosi apabila hendak  membuat sesuatu keputusan. Ini kerana jika seseorang berada dalam pengaruh emosi, persepsi terhadap sesuatu perkara akan terjejas. Ia tidak menggambarkan realiti sebenar. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud bahawa orang yang paling kuat adalah yang paling kuat menahan sifat marah. Marah adalah satu luahan emosi. Ia meletakkan nafsu di hadapan dan akal di belakang. Oleh itu, menahan kemarahan dikira sebagai satu kebijaksanaan oleh baginda.

Begitulah perancangan Allah. Dia letakkan emosi pada lelaki dan wanita dalam kuantiti dan nisbah yang sempurna. Bersesuaian dengan tugas dan peranan mereka. Allah juga tidak menjadikan sesuatu perkara untuk menyusahkan, bahkan sebagai suatu kekuatan jika kita tahu cara menggunakannya. Allah berikan kita alat, terpulang kepada kita hendak menggunakannya dengan cara yang bagaimana.