Oktober 8, 2007

Persepsi Diri

Posted in Penawar Hati pada 2:05 am oleh abulutfi

Pernahkah anda lalui keadaan di mana apabila anda melakukan sesuatu perkara, anda dikritik. Sebaliknya jika anda tidak melakukan perkara itu juga akan dikritik? Hal ini mengingatkan saya kisah Lukman Al-Hakim dan anaknya. Apabila anak Lukman menaiki kaldai sedangkan Lukman berjalan kaki, orang ramai mengkritik anaknya. Apabila Lukman menaiki kaldai sedangkan anaknya berjalan kaki, orang mengkritik Lukman. Apabila Lukman dan anaknya menaiki kaldai, orang mengkritik kedua-duanya.

Moral cerita di atas ialah anda tidak semestinya menurut persepsi orang lain. Setiap orang ada persepsi terhadap setiap tingkah laku kita. Jika kita asyik memikirkan apa yang orang lain akan kata apabila kita hendak melakukan sesuatu, akhirnya kita akan hilang identiti diri. Masalah ini sering terjadi kepada golongan remaja. Saya juga pernah mengalami perasaan begitu semasa remaja. Tingkah laku kita juga tanpa disedari dipengaruhi oleh ‘trend’ semasa kerana tidak mahu dilihat sebagai melawan arus. Oleh kerana terlalu risaukan diri tidak menjadi seperti yang orang lain harapkan, kita menjadi pengikut dan bukan pemimpin, sedangkan manusia dicipta sebagai khalifah di muka bumi!

Kesimpulan dari apa yang saya utarakan di sini ialah: Jadilah diri anda sendiri. Kenali diri anda dan eksploitasi kekuatan anda.

dual-personality.jpg

Advertisements

Oktober 1, 2007

Berhadapan orang yang berbeza sikap

Posted in Sumbangsaran pada 7:02 am oleh abulutfi

Salam,

Saya sering mendengar keluhan dan rintihan rakan-rakan yang tidak puas hati dengan sikap sesetengah pihak. “Si A tu memang suka manipulasi orang lain!”, kata rakan saya ini. Saya hairan, mengapa pula sikap si A tu boleh menjadi satu masalah kepada rakan saya tersebut. Bukannya dia dimanipulasi oleh si A itu pun. Walaupun saya mengakui sikap yang ditonjolkan oleh A tidak selari dengan nilai-nilai murni dan semangat muhibbah, tetapi kita tidak seharusnya menyesakkan fikiran kita dengan orang yang berbeza sikap dan tingkah lakunya.

Kita harus sedar bahawa setiap orang ada personaliti tersendiri. Kedua, tiada sesiapa yang sempurna. Cuba periksa diri kita sendiri. Pasti ada sikap yang juga tidak disenangi orang lain. Sebagai individu dalam satu kelompok masyarakat, kita mesti bijak menyesuaikan diri dengan masyarakat. Bagaimana caranya untuk menyesuaikan diri?

1. Terima seadanya diri kita dan orang lain.

2. Cuba memahami personaliti orang lain.

3. Belajar kebaikan yang boleh dicontohi atau keburukan yang harus dihindari.

Anda akan dapati bahawa Allah ciptakan manusia dengan personaliti dan sikap yang berbeza-beza sebenarnya untuk kebaikan dan bukan untuk memporak-perandakan dunia.