Julai 28, 2008

Merubah Apa Yang Ada Dalam Diri

Dikirim dalam Rahsia Personaliti Unggul pada 5:06 pm oleh abulutfi

Sumber: Sedutan dari Buku ‘Rahsia Personaliti Unggul’

Ramai yang tidak tahu bahawa manusia boleh merubah tingkah lakunya melalui perubahan dalam diri mereka. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-11 surah Ar-Ra’d yang bermaksud Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu. Perubahan dalaman ini mampu mencetus perubahan luaran.

Cara manusia bertindak balas boleh berubah-ubah dan bukan hanya kerana faktor persekitaran. Faktor dalaman juga mampu mengubah corak manusia bergerak balas. Faktor dalaman yang mengubah persepsi dan sekaligus gerak balas manusia disebabkan paras iman dan nafsu yang berubah-ubah. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. telah menyebut bahawa hati seseorang hamba-Nya boleh berubah-ubah.

Apabila iman manusia meningkat dari tahap iman taqlid, iaitu beriman dengan cara mengikut-ikut kepada tahap iman yang sebenar, nafsu juga berubah dari nafsu ammarah dan lawwamah kepada nafsu mutma’innah. Perubahan tahap nafsu menyebabkan tingkah laku juga turut berubah.

Selain iman seseorang, nafsu juga boleh berubah tingkat melalui proses penyucian jiwa. Ini berasaskan hujah di dalam ayat kesembilan dan kesepuluh surah As-Syam yang bermaksud akan berjaya orang yang mensucikan dirinya dan akan rugi orang yang mengotorinya. Muhammad Al-Ghazali menyatakan bahawa ibadah dan amal soleh adalah kaedah penyucian jiwa yang berupaya membawa kepada kesempurnaan kendiri.

Menurut Muhammad Al-Ghazali lagi, ibadah dapat memantapkan iman dan memelihara fitrah manusia dengan cara menundukkan tuntutan hawa nafsu. Sebagai contoh, ibadah solat dan zikir dapat menenangkan hati, puasa dapat mengawal nafsu, zakat dapat menyucikan jiwa daripada sifat bakhil dan haji berupaya meningkatkan disiplin diri. Semua kebaikan ibadat ini dinyatakan di dalam Al-Quran.

Disember 28, 2007

Mampukah Kita Mengubah Diri Kita?

Dikirim dalam Rahsia Personaliti Unggul pada 3:46 am oleh abulutfi

Saya akan bawakan kepada anda beberapa contoh tokoh yang telah mengalami transformasi personaliti yang telah merubah cara hidup individu tersebut dan individu di sekeliling mereka. Individu-individu ini umpama seketul batu yang dicampak ke dalam sebuah tasik yang luas. Riak yang dihasilkan daripada impak terebut mapu sampai hingga ke tebing. Mereka telah mengalami perubahan 360 darjah dan punca perubahan mereka juga boleh anda gunakan untuk merubah hidup anda.

Umar Al-Khattab adalah khalifah Islam yang kedua. Beliau menggantikan Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat. Riwayat hidup Umar sebelum kedatangan Islam yang disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. amat berbeza dengan cara hidupnya selepas beliau memeluk Islam. Namun apakah yang memungkinkan personaliti Umar berubah daripada seorang yang zalim bertukar menjadi seorang yang alim?

Pernahkah anda dengar nama Al-Ghazali? Beliau adalah seorang alim-ulama yang terkenal dalam dunia Islam. Siapakah beliau sebenarnya sebelum beliau mendapat jolokan ulama? Sebenarnya Al-Ghazali juga mengalami perubahan dalam hidupnya. Cuma bezanya ialah beliau telah mengenal Islam sejak beliau lahir ke dunia.

Umar Al-Khattab: Dari Zalim Kepada Alim

Umar lahir di Kota Mekah yang merupakan sebuah kota tumpuan bagi pedagang-pedagang. Beliau berasal daripada golongan kelas pertengahan. Walaupun pada ketika itu masyarakat Arab berada di dalam zaman kegelapan, namun Umar merupakan seorang yang berilmu pengetahuan. Dalam usia beliau yang masih dalam sekitar 20-an, Umar telah terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah berani.

Sebelum beliau memeluk Islam, beliau pernah menanam anak perempuannya secara hidup-hidup kerana budaya masyarakat Arab ketika itu tidak senang dengan kelahiran anak perempuan. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan ajaran Islam sekitar Mekah, Umar adalah antara penentang yang paling kuat. Beliau bermati-matian mempertahankan ajaran turun-temurun kaum Quraisy.

Apabila beliau mengetahui adiknya sendiri telah memeluk Islam, beliau dengan segera pergi ke rumah adiknya bersama pedang yang terhunus. Pada hari tersebut telah ditakdirkan bahawa Umar yang gagah dapat dilembutkan dengan alunan beberapa potong ayat dari Al-Quran, lantas menjadi beliau pendokong Islam yang paling kuat. Sepanjang perjuangannya bersama Nabi Muhammad s.a.w., beliau terkenal sebagai seorang yang tegas dari segi pematuhan hukum-hukum Islam.

Apabila Umar dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua, beliau berjaya memperluaskan empayar Islam dan mengatasi kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi. Sebagai ketua pemerintah sebuah empayar yang besar, Umar masih dengan cara hidupnya yang sederhana. Pernah pada satu ketika seorang kafir datang untuk menghadap Umar dan berasa amat terkejut apabila mengetahui bahawa Khalifah kepada sebuah empayar yang begitu besar hanya tinggal di dalam sebuah rumah yang amat sederhana.

Selaku Khalifah, Umar tidak pernah mengambil wang sara hidup yang berlebihan daripada Baitulmal dan hanya mengambil sekadar keperluan minimanya sahaja. Walaupun ada di kalangan sahabat yang mengatakan bahawa sebagai pemimpin yang bekerja keras untuk negara, beliau layak menerima lebih, namun beliau tidak pernah melihat kedudukan beliau sebagai satu kelebihan tetapi hanya sebagai satu amanah.

Sepanjang hayatnya setelah bergelar seorang Muslim, Umar terkenal sebagai seorang yang warak dan adil. Pernah pada satu ketika apabila beliau sedang mengagihkan wang Baitulmal, anak beliau yang masih kecil telah mengambil wang satu dirham daripada wang Baitulmal tersebut. Namun, Umar bertindak mengejar dan mengambil kembali satu dirham tersebut daripada anaknya kerana beliau tidak mahu keluarganya mengambil apa yang bukan hak mereka.

Begitulah karakter seorang pemimpin besar Islam. Daripada seorang yang sanggup membunuh kerana malu, beliau menjadi seorang tokoh yang bertaqwa. Proses transformasi Umar bermula dari dalam jiwanya sebaik sahaja beliau menghayati bait-bait kata dari Al-Quran. Tingkat ketaqwaan Umar semakin tinggi kerana beliau menghayati setiap suruhan yang datang dari Allah dan Rasul-Nya. Maka tentulah isi ajaran Islam itu adalah rahsia yang membentuk keperibadian Umar. Islam adalah satu cara hidup yang mempunyai pakej lengkap!

Muhammad Dr. Sa’id Ramadan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Al-Sirah, mencatat bahawa Islam telah berjaya mengeluarkan masyarakat Arab Jahiliyah daripada cara hidup yang hina menjadi sebuah masyarakat yang bermaruah. Para cendekiawan menyifatkan dakwah Rasulullah s.a.w. di Semenanjung Arab sebagai ’23 tahun yang ajaib dalam peradaban manusia’.

Al-Ghazali: Perjalanan Mencari Hidayah

al-ghazali.jpg

Imam Al-Ghazali atau nama sebenarnya, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Ghazali dilahirkan di Tusia Khurasan pada tahun 1058 masihi. Ayah beliau adalah seorang pemintal benang (al-ghazul). Oleh itu, beliau dikenali sebagai ‘Al-Ghazali’. Usia mudanya digunakan untuk menimba ilmu daripada ulama-ulama yang terkenal dari serata pelusuk negeri seperti Imam Al-Haramain Juwaini. Imam Al-Ghazali telah menunjukkan kecerdasan mindanya dengan menulis sebuah buku berjudul al-Mankhul semasa masih menuntut dengan Imam AL-Haramain.

Hasil kegigihan beliau, Imam Al-Ghazali menjadi terkenal dengan ketinggian ilmunya. Fatwa dan pendapatnya menjadi rujukan para pemerintah. Ketika inilah nafsu terhadap pangkat dan harta telah menguasai diri Imam Al-Ghazali. Oleh kerana kepetahannya berhujah, Al-Ghazali bersikap sombong. Beliau sering merendah-rendahkan orang lain. Sikap kebanyakan ulama yang mendampingi pemerintah juga mengutamakan kedudukan berbanding kepentingan agama.

Keadaan ini menimbulkan kesedaran di dalam hati Imam Al-Ghazali bahawa kehidupan dunia telah mengkaburi matanya. Lalu, beliau bertekad untuk memencilkan diri dari masyarakat bagi membersihkan jiwanya dari sikap cintakan dunia. Sekali lagi beliau mengembara untuk mematangkan fikirannya. Semasa beliau menjalani proses pembersihan jiwa, beliau telah mengarang kitab Ihya’ Ulumuddin yang kemudiannya menjadi kitab rujukan untuk membersih jiwa.

Selepas Imam Al-Ghazali berjaya membersihkan jiwanya dari sikap cintakan dunia, beliau kembali ke dalam masyarakat dan melakukan reformasi bagi menyelamatkan umat Islam dari terus hanyut dibuai kemewahan dunia. Kaedah reformasi Imam Al-Ghazali disandarkan kepada firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud, “Apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” Justeru beliau lebih menumpukan kepada memperbaiki diri berbanding menyalahkan pengaruh luar.

Akhirnya Imam Al-Ghazali bukan sahaja menjadi terkenal kerana kehebatan berhujah dan ketinggian ilmunya, malah kerana ketaqwaannya kepada Allah s.w.t.

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, illustrasi dan isi kandungan dalam apa jua bentuk atau cara sekalipun sebelum mendapat izin daripada penulis.

September 21, 2007

Prakata Rahsia Personaliti Ungul

Dikirim dalam Rahsia Personaliti Unggul pada 1:54 am oleh abulutfi

Dalam Jilid ini saya akan berkongsi rahsia-rahsia untuk membentuk personaliti yang unggul. Apa yang dimaksudkan dengan personaliti unggul? Anda akan ketahui setelah saya bongkar 5 peringkat personaliti, 4 faktor yang membentuk personaliti unggul dan 3 jenis personaliti manusia. Teruskan menerobos sempadan diri anda…

Laman sebelumnya

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.