08.23.09
Personaliti Mukmin

Sempena Ramadhan yang mulia ini, teringat saya kepada sebuah lagu yang didendangkan oleh kumpulan nasyid Hijjaz iaitu Sifat Mahmudah. Dalam kita memperkatakan tentang personaliti, jarang sekali dikaji dan diteliti sifat-sifat terpuji atau mahmudah yang sepatutnya ada pada seorang Mukmin. Mari dilayari sebentar lirik lagu tersebut:
“Inilah sebahagian sifat mahmudah
Yang patut ada pada diri kita
Susah dimiliki, payah dijaga
Hanya yang punya yang bermujahadah
Ikhlas itu jiwa yang murni
Rahsia Allah di dalam hati
Terlalu sembunyi, tapi dapat dikesan
Jika disuluh dengan saksama
Nista dan puji tiada berbeza
Redha sifat hati yang suci
Ujian yang tiba rasa gembira
Atau tiada apa terasa
Kerana menerima anugerah tuhannya
Sifat sabar sedikit berbeza
Ujian yang menimpa sakit dirasa
Tapi dapat ditahan perasaannya
Hanya bermain di dalam sahaja
Di luar tidak nampak terang nyata”
Lirik lagu Hijjaz ini menjelaskan tentang tiga sifat terpuji yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas, redha dan sabar. Ikhlas adalah satu sifat yang sukar ditentukan kehadirannya. Ia adalah rahsia Allah swt dan diberikan kepada insan yang tertentu. Tips untuk menentukan sama ada seseoramg itu ikhlas adalah apabila dipuji, ia tidak berasa riya’. Saidina Ali pernah berkata, “Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riya’) mempunyai tiga tanda: Apabila bersendirian malas beribadah, sebaliknya apabila bersama-sama orang ramai dia menjadi rajin. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan. Sebaliknya apabila dipuji, dia menambahkan amalannya.”
Redha pula adalah satu keistimewaan yang hanya ada pada orang Mukmin. Apabila ditimpa musibah ia berlapang dada, dan apabila dianugerahkan berita baik, ia bersyukur. Ia menerima kesemua ketentuan Allah swt dengan tenang. Firman Allah swt, “Alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan RasulNya berikan kepada mereka sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan RasulNya akan berikan kepada kami kurnianya, Sesungguhnya pada Allah kamu menuju.”
Sifat sabar sedikit berbeza dari redha. Seorang yang memiliki sifat sabar berupaya menahan diri apabila ditimpa ujian. Sifat sabar perlu dalam menghadapi 3 perkara: Pertama, berkeluh kesah apabila berlaku bencana. Kedua, dalam mengerjakan segala diperintah Allah. Ketiga, dalam meninggalkan segala larangan Allah.
Renungi kata-kata Rasulullah saw ini, “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”
05.03.09
Mencari Ketenangan dengan Zikrullah
Di zaman penuh pancaroba ini, hati manusia sentiasa keluh kesah dengan pelbagai masalah dan ujian. Pelbagai usaha digunakan untuk mencari ketenangan jiwa. Ada yang ke panggung wayang, ada yang makan, ada yang tidur dan seribu satu macam cara lagi. Namun, Islam sebenarnya telah ada formula penenang jiwa sejak 1400 tahun dahulu. Firman Allah swt dalam surah ar-Ra’d, ayat ke-28, maksudnya dengan berzikir, hati menjadi tenang.
Mungkin ramai yang tidak mahu mengakui kuasa zikir lantaran kemampuan ‘fikir’nya yang tidak menjangkaui hal-hal ghaib. Allah menjanjikan ganjaran yang banyak kepada orang yang sentiasa membasahi lidahnya dengan zikir. Sebagai perumpamaan, ucapan dua kalimah syahadah adalah lebih berat daripada seluruh isi dunia jika diletakkan di atas timbangan. Dengan menyebut nama-nama Allah dan sifat-sifatNya, seseorang akan diangkat darjatnya di sisi makhluk-makhluk Allah, dihapuskan dosa-dosa dan dijanjikan pahala yang melimpah ruah. Zikir juga merupakan perisai kepada syaitan dan jin.
Beza orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir umpama orang yang hidup dan orang yang mati. Hal ini diungkap dalam salah satu hadith Nabi saw. Belum percaya? Cubalah sendiri. Mulakan dengan memaksa diri. Lama-kelamaan, mulut akan terbiasa dan akhirnya sertakan ucapan dengan hati (mengetahui makna dan fokus). Inilah yang disarankan oleh Imam Al-Ghazali hingga akhirnya beliau sendiri menemui Tuhannya. Satu langkah kita mendekati Allah, sepuluh langkah Allah mendekati kita. Apa yang lebih indah daripada mengenal Allah lebih rapat?
Kajian oleh pakar-pakar kesihatan mendapati ornag yang bermeditasi meningkatkan gelombang theta dalam otak. Gelombang ini dipancarkan seseorang apabila berada dalam keadaan tenang. Bahkan meditasi dapat mengurangkan tekanan dan risiko penyakit jantung. Zikir juga merupakan satu bentuk meditasi, bahkan ia lebih daripada itu kerana Allah mengurniakan ganjaran pahala kepada mereka yang menyebut nama-Nya dengan ikhlas. Cubalah sendiri, anda pasti tidak menyesal!
01.09.09
Kawal Emosi Mu Dahulu

Manusia adalah makhluk yang beremosi. Secara umumnya kaum wanita lebih emosi berbanding lelaki. Ini bukanlah satu kelemahan, tetapi satu kelebihan. Melalui limpahan emosi inilah, wanita menjadi tonggak sebuah negara dengan kekuatan membesarkan anak-anak yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi.
Oleh kerana lelaki kurang beremosi, ia menghadapi kesukaran untuk menjadi suri rumah dan mendidik anak-anak di rumah. Namun, sebenarnya kurangnya emosi di kalangan kaum lelaki juga bukan tanpa kekurangan, malah satu kekuatan. Sebagai pemimpin dalam keluarga, organisasi atau negara, lelaki adalah insan yang diberi amanah mentadbir dan diberi kuasa membuat keputusan. Sesuatu keputusan seharusnya dibuat tanpa mencampur-adukkan emosi ke dalamnya.
Sun Tzu, seorang pakar strategi perang di China suatu ketika dahulu menyarankan agar seorang Jeneral perang melepaskan diri dari pengaruh emosi apabila hendak membuat sesuatu keputusan. Ini kerana jika seseorang berada dalam pengaruh emosi, persepsi terhadap sesuatu perkara akan terjejas. Ia tidak menggambarkan realiti sebenar. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud bahawa orang yang paling kuat adalah yang paling kuat menahan sifat marah. Marah adalah satu luahan emosi. Ia meletakkan nafsu di hadapan dan akal di belakang. Oleh itu, menahan kemarahan dikira sebagai satu kebijaksanaan oleh baginda.
Begitulah perancangan Allah. Dia letakkan emosi pada lelaki dan wanita dalam kuantiti dan nisbah yang sempurna. Bersesuaian dengan tugas dan peranan mereka. Allah juga tidak menjadikan sesuatu perkara untuk menyusahkan, bahkan sebagai suatu kekuatan jika kita tahu cara menggunakannya. Allah berikan kita alat, terpulang kepada kita hendak menggunakannya dengan cara yang bagaimana.
06.17.08
Perbezaan Psikologi Islam dan Psikologi Barat
Ilyas Ba-Yunus dan Farid Ahmad (1985) mengatakan bahawa Ibn Khaldun adalah orang yang memperkenalkan sains sosial (cIlm al-cumran), iaitu sekitar tahun 1377. Antara cabang sains sosial adalah psikologi dan sarjana-sarjana Islam adalah antara orang yang paling awal membuat kajian dalam bidang ini. Antara sarjana-sarjana Islam yang dimaksudkan ialah Ibn Sina, Al-Ghazali dan Al-Farabi. Ibn Sina dalam bukunya, Al-Shifa’, ada membincangkan akal, kewujudannya, hubungan akal dan tubuh, perasaan dan persepsi (Husain t.th.).
Menurut Ibn Sina, jiwa manusia mempunyai kemampuan secara teori dan praktikal yang membentuk kecerdikan atau kecerdasan minda. Menurutnya lagi, jiwa itu sendiri boleh mencapai idea yang tidak disedari oleh seseorang melalui perasaan, imaginasi dan anggaran. Beliau menganggap kebolehan tersebut sebagai faktor utama kepada tingkah laku (Husain t.th.).
Menurut Abdul Hameed Al Haslimi (1984) dari Universiti King Abdul Aziz, Al-Ghazali adalah orang yang mula-mula memberi istilah kepada kajian akal atau kelakuan manusia lima abad sebelum Rodold J. Clenues menggunakan istilah yang sama (psikologi). Al-Ghazali juga mengkaji hampir kesemua aspek dalam psikologi (Husain t.th.).
Al-Ghazali menyatakan bahawa jiwa adalah suatu entiti spiritual yang mengawal fungsi fizikal dan organik manusia serta menguasai deria untuk menjalankan keperluan-keperluan badan (Husain t.th.). Walau bagaimanapun, ilmu-ilmu yang diperkenalkan oleh sarjana-sarjana Islam ini telah dikembangkan oleh cendekiawan Barat tanpa memberikan kredit kepada pengasas ilmu tersebut.
Habibah dan Noran (1997) menyatakan bahawa dari perspektif Islam, personaliti dimaksudkan sebagai sahsiah atau secara umumnya akhlak. Menurutnya lagi, faktor-faktor lain yang dianggap penting dalam perkembangan personaliti manusia ialah hubungan manusia dengan Allah s.w.t., interaksi roh dan jasmani serta peranan akal.
Personaliti boleh dibahagikan kepada dua iaitu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Manusia yang berakhlak atau mempunyai personaliti positif menurut perspektif Islam adalah manusia yang melakukan kebaikan dan menyerah diri secara total kepada Allah (Mohd Nasir 1992). Sarjana-sarjana Islam melihat bahawa perspektif baru dalam psikologi di bawah pengaruh Al-Quran dan hadith boleh mengisi lompang kekosongan dan mempengaruhi perubahan sosial untuk kebaikan manusia dan masyarakat (Husain t.th.).
Islam berpendapat, pengajian berkenaan jiwa manusia merupakan aktiviti saintifik yang berguna dan patut digalakkan sepertimana ilmu pengetahuan yang lain (Abdul Hamid 1989). Menurut Abdul Hamid (1989), penyelidikan mengenai diri manusia ternyata merupakan jalan paling singkat dan paling pasti kepada mempercayai Tuhan. Ini berpandukan maksud ayat-ayat dari Al-Quran berikut:
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar” (Al-Quran: Al-Fussilat: 53)
“Dan di bumi ini terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri” (Al-Quran: Al-Dhariyat: 20-21).
Sesetengah ahli psikologi berpendapat bahawa psikologi telah menjadi sains yang kekurangan subjek utamanya, iaitu jiwa (Fromm, 1950). Hassan Langgulung (1986) menyatakan bahawa kesemua mazhab psikologi dari Barat tidak mengkaji jiwa tetapi sebaliknya berat kepada kajian tingkah laku. Menurutnya lagi, dari mana asal dan bagaimana bentuk jiwa tidak dikaji oleh ahli psikologi barat. Menurut Mahyudin Yahaya (1986):
Berbeza daripada pemikiran dan falsafah sejarah moden yang berbentuk sama ada empiris, material atau spiritual semata-mata, pemikiran dan falsafah sejarah Islam adalah hasil gabungan daripada ketiga-tiga aspek tersebut dalam bentuk bersepadu, dan dengan mengambil kira unsur-unsur teologi dan metafizik (hlm. 64).
Namun, jika ilmu psikologi Barat diketepikan keseluruhannya, mungkin juga sebahagian daripada warisan Islam itu sendiri akan hilang (Malik Badri 1980) kerana kebanyakan ilmu tentang kejiwaan diceduk dari hasil pemikiran sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina dan Imam Al-Ghazali
06.16.08
Pendekatan Psikologi Islam
Persepsi dalam dunia psikologi kebanyakannya dimonopoli oleh teori-teori dari barat. Menurut M.G. Husain (t.th.) dalam buku Psychology and Society in Islamic Perspective, teori-teori moden ciptaan sarjana-sarjana barat ini lebih menitik beratkan kajian sosial dan budaya manusia tanpa memberi perhatian pengaruh spiritual manusia.
Hassan Langgulung (1986) dalam tulisannya, Perspektif Baru dalam Perkembangan Psikologi Moden: Sumbangan Islam, menyatakan bahawa dalam Islam, jiwa merujuk kepada empat istilah iaitu ‘aql’, ‘nafs’, ‘roh’ dan ‘qalb’. Inilah perbezaan paling ketara antara psikologi barat dan psikologi Islam, kajian terhadap jiwa diutamakan sedangkan di barat, kajian terhadap tingkah laku lebih diutamakan.
Dalam buku Sains Sosial dari Perspektif Islam, Wan Hashim Wan The (1986) menyatakan bahawa teori-teori psikologi dari barat tidak sesuai digunakan untuk mengkaji masyarakat Islam kerana ‘world-view’ Barat tidak sama dengan ‘world-view’ Islam. Oleh itu, teori-teori yang dicipta oleh sarjana barat tidak berdasarkan realiti masyarakat Islam. Sebagai alternatifnya, Hanna Djumhana (1994) dalam buku Integrasi Psikologi Dengan Islam: Menuju Psikologi Islam, menegaskan bahawa prinsip tauhid hendaklah dijadikan pedoman dalam kajian psikologi.
Sarjana-sarjana Islam yakin bahawa perspektif psikologi yang digali dari Al-Quran dan Al-Hadith boleh mempengaruhi perubahan sosial dan masyarakat. Menurut M.G. Husain lagi, manusia berupaya mencapai kehebatan dengan memupuk sifat-sifat yang dikehendaki Allah S.W.T. ke dalam dirinya. Ini kerana objektif dalam kajian psikologi Islam adalah untuk membentuk insan yang lebih berkualiti serta mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

