Disember 8, 2010

Motivasi dalam Organisasi

Posted in Psikologi Islam at 6:57 am oleh abulutfi

Oleh: A. Amri

Konsep Motivasi

Secara konseptualnya, motivasi dikaitkan dengan dorongan dalaman seseorang, iaitu suatu tenaga yang menggerakkan tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat yang tertentu. Dari aspek sumber manusia, dorongan ditakrifkan sebagai kesediaan individu atau kumpulan untuk menyumbang tenaga dan usaha bagi mencapai sesuatu matlamat atau tujuan. Dorongan seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada motif yang ditetapkan seseorang atau desakan yang diterima olehnya.

Secara umumnya, proses motivasi bermula apabila seseorang mengenalpasti keinginan atau keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.


Teori-teori Motivasi

Tedapat banyak teori motivasi yang dikemukakan oleh ahli psikologi. Dalam bidang psikologi industri dan organisasi, kebanyakan teori-teori motivasi boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu teori yang berasaskan keperluan dan teori yang berasaskan proses kognitif. Teori yang paling popular dalam teori keperluan adalah Teori Keperluan Maslow dan Teori Pencapaian McClelland. Manakala, teori yang berasaskan kognitif sering merujuk kepada Teori Jangkaan Vroom dan Teori Ekuiti Adam.

Teori Keperluan Maslow yang diperkenalkan oleh Abraham Maslow pada 1954 menyatakan bahawa manusia mempunyai lima keperluan yang disusun mengikut hirarki. Keperluan asas manusia adalah keperluan fisiologi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Tahap kedua adalah keperluan keselamatan diri. Keperluan tahap ketiga adalah keperluan sosial. Selepas itu, manusia akan memenuhi keperluan ego dan penghormatan diri. Keperluan tertinggi adalah keperluan kepada kesempurnaan kendiri.

Teori ini diaplikasikan dalam bagi memenuhi motivasi seseorang pekerja dengan membekalkan keperluan-keperluannya seperti gaji dan elaun (fisiologi), keselesaan tempat kerja dan insurans (keselamatan diri), bekerja dalam kumpulan (sosial), kebebasan dan keyakinan (ego) serta pengembangan diri (kesempurnaan kendiri).

Bagi McClelland pula (Teori Pencapaian McClelland, 1961), seseorang individu mempunyai tiga motif asas iaitu keperluan pencapaian, keperluan gabungan dan keperluan memperolehi kuasa. Keperluan pencapaian diperolehi apabila seseorang pekerja mencapai kejayaan mengikut piawaian tertentu. Keperluan gabungan (afiliasi) diperolehi seseorang pekerja apabila ia menjalin hubungan yang lebih rapat dengan orang lain.

Manakala keperluan memperolehi kuasa diperolehi seorang pekerja apabila ia berjaya mengawal atau mempengaruhi kelakuan orang lain. Kajian ahli psikologi mendapati bahawa individu yang tinggi keperluan pencapaian lebih berjaya dalam pekerjaannya jika jenis pekerjaan tersebut membantu pencapaian peribadinya.

Dari sudut kognitif pula, Vroom berpendapat bahawa manusia berkelakuan berdasarkan hasil yang dijangka boleh memberi kepuasan (Teori Jangkaan Vroom,1964). Contohnya kenaikan pangkat. Seseorang pekerja akan memilih tindakan yang ditentukan oleh jangkaan dan keutamaannya ketika itu. Namun, daripada kajian-kajian ahli Psikologi, tidak semua hasil (ganjaran) yang positif boleh meningkatkan motivasi pekerja.

Stacy Adam pula memilih pendekatan yang berbeza. Menurut Teori Ekuiti Adam (1965), seseorang pekerja akan membuat perbandingan antara input-output kerjanya dan input-output rakan sekerja lain yang setaraf. Input bererti kemahiran, pengalaman atau latar belakang pendidikan. Output bererti gaji, faedah atau pujian. Ekuiti adalah nisbah output kepada input:

Ekuiti = Output/Input

Kajian yang dijalankan oleh Smither pada 1988 berdasarkan teori ini mendapati bahawa seseorang akan bekerja dengan lebih rajin jika gaji yang diterimanya setanding dengan usaha yang dicurahkan. Namun, pekerja yang mempunyai input yang banyak berbanding pekerja lain tidak semestinya memberi kesan ke atas prestasi dirinya. Dalam kajian lain oleh Cropanzano dan Folger pada 1989, didapati pekerja yang dipaksa bekerja kuat tetapi menerima gaji yang sama dengan pekerja lain yang tidak dipaksa bekerja kuat akan merasa tidak puas hati.

Motivasi Dari Perspektif Islam

Dari perspektif Islam, motivasi seseorang didorong oleh pelbagai faktor yang saling berkait. Dalam Islam, tiga perkara penting dalam tingkah laku adalah niat, kaedah dan matlamat (motif). Niat bermula dari mengenal diri sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.

Matlamat adalah hasil yang diperolehi di akhirat setelah apa yang diusahakan di dunia. Menurut Mohd Zaki Samsudin dan Alizi Alias dalam tulisan mereka ‘Motivation and Emotion’, seorang Muslim mempunyai motif dalaman (intrinsik), iaitu mencari keredhaan Allah dan motif luaran (ekstrinsik), iaitu ganjaran syurga atau neraka.Ia mungkin dalam bentuk ganjaran atau hukuman.

Kemudian Allah memberi akal kepada manusia untuk berfikir dan memilih kaedah atau jalan untuk mencapai motif tersebut. Ia boleh berupa jalan yang benar, iaitu yang bertepatan undang-undang Allah dan fitrah manusia atau jalan yang mungkar iaitu jalan yang bertentangan dengan undang-undang Allah.

Satu karakteristik khusus dalam motivasi dari perspektif Islam adalah faktor iman. Dalam kajian Ahmad Amri pada 2004, didapati bahawa seseorang yang mempunyai tahap penghayatan iman yang tinggi juga mempunyai komitmen, disiplin diri dan dorongan yang kuat dalam melakukan kerja.

Dari Islam perspektif Islam, motivasi bermula aqal, kemudian turun ke hati dan akhirnya digerakkan oleh nafsu. Manusia yang berilmu akan faham apa yang perlu dicari dalam dunia ini. Hati yang kenal Tuhan akan mahu mencari-Nya. Nafsu yang dilatih pula akan mampu membawa tubuh kepada matlamat yang disasar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: